Sebesar apa sebuah cita-cita
Friday, June 13, 2025
Ketika kita remaja,
kita memimpikan untuk menongkat langit. Merentas angkasa dan menjadi yang ternama. walaupun pada ketika itu, kita cuma ada impian dan mimpi bahawa sesuatu yang mustahil itu boleh menjadi nyata. Kita masih belum punya daya dan masih tiada kuasa. Tapi seluas cita-cita itu, kita tidak takut untuk bermimpi dengannya.
Ketika kita remaja,
Sebesar dunia, kita rasa kita boleh tawan. Kita rasa pahit cuma dari sebuah ujian untuk menjadi yang pertama dalam sebuah sistem pendidikan. Kita masih belum merasa sakitnya sebuah kehilangan. Tak pernah terbayang sebuah kegagalan yang tiada jalan untuk pulang. Setiap kali gagal kita masih ada 'rumah' untuk pulang. Kita masih boleh mula semula bila-bila masa.
Ketika kita remaja,
Dunia cuma berputar pada paksi yang kita mampu capai. Kita masih mampu kawal segala perkara yang datang menghentam. Apa yang kita tidak mampu hadap, seseorang telah ambil beban itu dan kita lupa siapa.
Bila kita dewasa baru kita sedar, siapa yang ambil beban itu pergi. Siapa yang mengawal segala beban yang diluar kawalan itu. Siapa yang melindungi kita dari kerasnya sebuah dunia.
Jadi adakah aku menjadi seperti apa yang aku impikan?
sayangnya , jujurnya. Tidak. Hahaha
Bahkan jauh panggang dari api.
Tersasar bukan sekadar dari paksi. bahkah jauh dari orbit yang sepatutnya aku ikuti.
Tapi adakah aku menyesalinya? Kadangkala. Cuma aku boleh kata apa yang aku ada kini lebih baik dari yang aku bayangkan.
Bahkan lebih ringan dari apa yang aku pernah impikan. Dulu aku impikan untuk menongkat dunia sedang aku tidak tahu seberat apa beban menanggung sebuah dunia itu. Sedang kini aku menongkat dunia aku sendiri sudah terasa beratnya sebuah tanggungjawab.
Ya tanggungjawab yang sebelum ini bebannya ditanggung oleh sosok seorang ibu dan ayah. Beban yang dihalang untuk aku lihat.
14 tahun berlalu. Dunia aku berubah sepenuhnya. Mimpi dan harapan yang aku pernah bawa aku sudah kuburkan dulu. Cuma kali ini aku mahu mulakan semula, mimpi yang lebih nyata. Bersama tanggungjawab yang ada, aku cuma mahu usaha keluar dari zon selesa yang hanya ada untuk aku.
Mungkin cuba semula menulis untuk menyampaikan sesuatu kepada dunia. Menulis untuk jadi harapan kepada generasi baru di luar sana.
wahai generasi baru, jika kamu ada impian dan ianya seluas angkasa. Teruskanlah bermimpi. Walaupun ia akan jadi sangat berbeza di masa hadapan. Sekurang-kurangnya kita pernah merasa hidup dalam impian kita. Kerana kerasnya sebuah dunia, kita perlukan impian untuk terus berjalan di atasnya.
Tapi seluas impianmu, kau perlu usaha yang dua kali ganda lebih dan kau perlu keyakinan yang tiga kali ganda lebih dari impian yang kau bawa. Kerana sebuah impian tanpa usaha cumalah mimpi yang akan menjadi sejarah dalam fikiranmu sendiri.